Ramai yang masih keliru antara hibah, wasiat, dan faraid. Dalam Islam, hibah memainkan peranan penting sebagai salah satu cara perancangan harta semasa hidup. Jadi, apa sebenarnya maksud hibah, bagaimana ia dilakukan, dan apakah kesannya terhadap harta pusaka?
Maksud Hibah
Secara mudah, hibah ialah pemberian harta oleh seseorang kepada orang lain semasa masih hidup tanpa sebarang balasan. Ia bukan janji untuk memberi selepas kematian. Menurut Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) (Pindaan) Tahun 2015,
“Hibah” ertinya sesuatu akad dengan rela hati yang mengandungi penyerahan dan pemindahan hak milik apa-apa harta seseorang kepada orang lain semasa hidupnya tanpa balasan atau ganti rugi yang boleh dinikmati manfaat hartanya mengikut Hukum Syarak.
Maknanya, pemberian ini mesti dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tanpa paksaan, serta melibatkan pemindahan hak milik sepenuhnya kepada penerima hibah.
Rukun Hibah
Dalam undang-undang Islam, terdapat empat rukun hibah yang mesti dipenuhi supaya akad hibah sah di sisi syarak:
-
Pemberi hibah (Al-Wahib) – individu yang memberi harta.
-
Penerima hibah (Al-Mawhub Lahu) – individu yang menerima harta tersebut.
-
Harta yang dihibahkan (Al-Mawhub) – harta yang dimiliki dan boleh dipindah milik.
-
Lafaz ijab dan kabul (Sighah) – pernyataan jelas tentang pemberian dan penerimaan hibah.
Jika salah satu rukun ini tidak dipenuhi, maka akad hibah boleh dianggap tidak sah.
Proses dan Pengesahan Hibah
Secara praktikal, kontrak hibah boleh dibuat di luar Mahkamah Syariah. Pemberi hibah boleh menyediakan dokumen hibah sendiri atau melalui peguam syarie bertauliah.
Selepas itu, dokumen tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah untuk disahkan (endorsement) supaya sah dan diiktiraf secara undang-undang.
Langkah ini penting bagi mengelakkan pertikaian waris selepas kematian pemberi hibah.
Kesan Hibah terhadap Harta Pusaka
Apabila sesuatu harta telah dihibahkan, harta tersebut tidak lagi dianggap sebagai harta pusaka. Ini bermaksud, ia tidak akan dibahagikan mengikut hukum faraid selepas kematian pemberi hibah.
Namun begitu, hibah tidak menolak fungsi faraid dan wasiat. Sebaliknya, ia memudahkan umat Islam untuk merancang harta mengikut keperluan individu dan keadaan keluarga. Dengan hibah, seseorang boleh memastikan harta sampai kepada penerima yang diinginkan tanpa menyalahi hukum Islam.
Kesimpulan
Secara ringkas, hibah ialah pemberian sukarela semasa hidup yang dilakukan secara sah menurut hukum syarak. Ia menjadi salah satu instrumen penting dalam perancangan harta Islam untuk mengelakkan pertikaian waris dan memastikan keadilan serta ketenangan selepas pemergian pemberi hibah.

